Baru-baru ini telah menjadi tular di dalam aplikasi Whatsapp bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang kenderaan yang berdaftar dan menggunakan UBER ataupun GrabCar memperbaharui cukai jalan. Kenyataan yang kononnya datang daripada perintah Ketua Pengarah JPJ betul-betul telah membuatkan ramai orang percaya lalu mengongsikan kepada lebih ramai orang lagi.

Ikuti kenyataan rasmi daripada JPJ melalui sisipan akhbar Berita Harian seperti di bawah.

Kenyataan akhbar Berita Harian

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan laporan bahawa pihaknya melarang kenderaan yang terbabit dengan kegiatan Uber dan GrabCar memperbaharui cukai jalan.

JPJ, dalam satu kenyataan sebentar tadi, menjelaskan bahawa mesej memaparkan berita yang menjadi viral melalui media sosial WhatsApp yang didakwa dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ, adalah tidak benar sama sekali.

“Kenderaan yang terbabit dengan kegiatan Uber dan GrabCar boleh memperbaharui cukai jalan dengan mengikut prosedur sedia ada iaitu mempunyai insurans yang sah dan tidak disenarai hitam.

“JPJ ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sah.

“Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, orang awam dinasihatkan untuk merujuk terus kepada jabatan ini dan tidak turut serta menyebarkan maklumat palsu berkenaan,” katanya.

Selidik berita terlebih dahulu

Inilah yang berlaku apabila penggunaan aplikasi digital semudah di hujung jari sahaja tanpa melakukan usul periksa kesasihan berita tersebut. Diharapkan rakyat lebih peka dengan penyebaran khabar angin seperti ini kerana ia mampu mengganggu gugat ketenteraman awam tanpa kita sedar.

Sumber: Berita Harian