Pengeluar kereta premium, Volvo dan Skype daripada Microsoft telah mengumumkan kolaborasi untuk memasukkan aplikasi Skype for Business ke dalam model terbaru Volvo 90 Series. Volvo merupakan pengeluar kereta pertama yang bakal membawa masuk teknologi untuk menambah baik produktiviti komunikasi itu.

Sebelum ini, ramai telah mengalami pengalaman terpaksa membuat panggilan persidangan di dalam kereta akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Masalah yang biasa dihadapi ialah seperti telefon terlepas daripada pegangan dan kata laluan untuk membuat panggilan adalah terlalu panjang. Perkara seperti ini boleh memberi gangguan fokus semasa dalam perbualan dan juga pemanduan dalam kereta. Dengan adanya teknologi Skype for Business di dalam kereta Volvo, masalah seperti di atas dapat diselesaikan.

Skype for Business digunakan secara meluas oleh jutaan penduduk dunia. Apabila ianya dimuat naik ke dalam Volvo 90 Series, pemandu dapat melihat mesyuarat mereka yang seterusnya dan nama mereka yang bakal menyertai dalam perbincangan tersebut dengan hanya satu sentuhan butang di menerusi skrin display yang besar di tengah-tengah dashboard.

Aplikasi ini juga menunjukkan satu lagi langkah teknologi permotoran ke arah komunikasi dan perhubungan dengan cara yang lebih baik. Dengan adanya teknologi ini, kita dapat melihat masa hadapan yang lebih fleksibel terutamanya semasa pemanduan di dalam kereta kerana produktiviti seharian dapat ditingkatkan walaupun dengan cara mengurangkan masa di dalam pejabat.

Kereta Volvo telah mencapai satu tahap di mana mereka menyelesaikan masalah pemandu dengan menjadikan hidup mereka lebih mudah disertai dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi. Kerjasama antara Volvo dan Skype dari Microsoft turut disertakan dengan eksperimen terhadap Cortana, sebuah teknologi artificial intelligence penolong peribadi daripada Microsoft. Ia bakal membawa masuk fungsi pengecaman suara dan pandangan secara konteksutual demi memudahkan kehidupan pemandu dengan menjangkakan keperluan mereka.

Diharap teknologi dan model ini dapat dirasai oleh kita rakyat Malaysia kerana kita juga menghadapi masalah kesesakan jaan raya terutama bagi mereka yang tinggal dan bekerja di kawasan bandar-bandar besar seluruh negara.

Sumber: Volvo