Kalau anda penunggang motorsikal yang noob tapi ingin tampak bergaya menunggang motorsikal berkuasa tinggi yang strukturnya agak tinggi dan gagah itu, mungkin motorsikal Honda dengan teknologi ini yang anda perlukan di masa hadapan.

Honda sedang membina penyelesaian di atas khas untuk anda dengan memperkenalkan motorsikal yang mempunyai keupayaan untuk mengimbangi dengan sendiri. Teknologi ini telah diumumkan pada CES (Consumer Electronics Show) dengan menunjukkan aksi sebuah motorsikal yang bergerak tanpa ditunggang oleh siapa-siapa.

Motorsikal Honda 1

Tidak seperti Segway dan motorsikal konsep daripada BMW, Motorrad Vision, teknologi Honda ‘Riding Assist’ ini tidak bergantung kepada gyroscope (sebuah alat yang terdiri daripada roda dan disk yang berputar dengan sendiri untuk menghasilkan keseimbangan) untuk mengimbangkan dirinya sendiri. Sebaliknya, ia menggunakan teknologi sistem keseimbangan daripada robot Asimo dan juga Uni-Cub, sebuah skuter elektrik yang dibangunkan oleh R&D Silicon Valley.

Honda menggunakan teknologi sistem stering berelektrik yang melepaskan bar pemegang daripada fork hadapan pada kelajuan kurang daripada 10km/j, dan membiarkan bar pemegang itu dikawal oleh komputer. Sekiranya anda menunggang lebih daripada 10km/j, sistem akan menahan dan menguncikan semula fork dan bar pemegang, mengembalikan keadaan motorsikal kepada tunggangan konvensional.

Motorsikal Honda ini mampu mengesan perubahan sudut dan mengubahnya kepada sudut yang bertentangan dengan kelajuan beribu-ribu kali sesaat bagi mengekalkan keseimbangannya. Sistem ini juga mampu melaraskan fork hadapan dengan merendahkan pusat graviti motorsikal bagi menambahkan kestabilannya.

Lihat video kemampuan motorsikal ini beraksi di dunia sebenar.

Antara feature yang kami rasa sangat mantap dengan motorsikal Honda ialah dengan fungsi tailing atau mengekori dari belakang. Bagaikan seekor harimau garang yang sentiasa menjadi bodyguard kepada tuannya. Honda betul-betul menunjukkan misi dan visinya kepada orang ramai, ‘The Power of Dreams’.

Motorsikal Honda 2

Honda Riding Assist

Buat masa ini, motorsikal dengan teknologi self balancing ini masih lagi diperingkat prototype dan Honda belum lagi benar-benar serius ingin memasarkannya. Sekiranya tiba di jalanan Malaysia, pasti ramai geng-geng motor besar beli kamera GoPro, rakam sepanjang perjalanan sambil motorsikal bergerak secara autopilot. Peh!

Sumber: Wired