Semalam kecoh tentang berita pemilikan syarikat pengeluar kereta dari China, Geely ingni memiliki kilang Proton di Tanjung Malim. Mari kita ikuti berita lebih lanjut melalui sisipan dari The Star ini.

Petaling Jaya: Pengeluar kereta dari China, Geely Automobile Holding Bhd dikatakan sedang mendahului perlumbaan dalam pemilikan untuk menjadi rakan teknikal pengeluar kereta nasional, Proton.

Tambahan daripada ini, Proton juga telah membuat rombakan kepada eksekutif atasan demi menyediakan mereka membawa masuk rakan teknikal baru yang bakal tiba.

Antara rombakan yang telah dibuat ialah dengan membawa masuk Pengarah Urusan Teknikal, Abdul Rashid Musa mengetuai bahagian jualan Proton Edar Sdn Bhd bagi meningkatkan jualan mereka.

Abdul Rashid bakal menggantikan Rohime Shafie, bekas Ketua Pengarah Urusan Proton Edar Sdn Bhd yang telah diarahkan untuk mengetuai sebuah lagi subsidiari Proton.

Abdul Rashid Musa juga pernah menerajui Kumpulan Lotus dari United Kingdom. Perubahan ini berlangsung kelmarin.

Dikhabarkan, PSA Group of France, pengeluar kedua kereta terbesar di Eropah yang menghasilkan model seperti Peugeot dan Citroen turut menunjukkan minat yang sama terhadap kilang di Tanjung Malim ini.

Namun, Geely nampaknya lebih menunjukkan minat secara langsung terhadap kerjasama bersama dengan Proton ini. Anda boleh lihat kedua-dua orang penting Geely dan PSA di ibu pejabat setiap hari.

Kedua-dua pengeluar kereta asing ini dikatakan bakal memiliki 51% pegangan terhadap kilang pembuatan Proton di Tanjung Malim. Kerajaan telah memberi lampu hijau untuk syarikat asing memiliki majoriti terhadap pusat pemasangan ini.

CEO Malaysia Automotive Institute, Datuk Madani Sahari manyatakan kilang Proton di Tanjung Malim merupakan aset terbaik untuk menembusi pasaran Asia Tenggara. Bakal rakan teknikal yang baru itu nanti berpeluang mengeluarkan kereta bersama Proton dan boleh menjadikannya hub pembuatan kereta di Asean. Malahan, Proton telah berada di pasaran semenjak tahun 1980an lagi, sudah tentu mereka lebih faham dengan pasaran Asean.

Proton telah mula mengenal pasti rakan strategik mereka sejak Jun 2016 dengan menghantar cadangan kepada 14 pengeluar kereta seluruh dunia.

Daripada kesemua 14 pengeluar kereta tersebut, tiga pengeluar asing telah disenarai pendek. Antara syarikat yang telah dinyatakan adalah Geely, PSA Group dan Renault SA.

Kami pandang kolaborasi antara Proton dan rakan teknologi terbaru mereka sebagai suatu perkara yang positif dari segi pembangunan teknologi serta ekonomi kepada negara.

Sumber: The Star