Proton Holdings Berhad sekali lagi dinobatkan sebagai jenama hebat di mata Asia Tenggara apabila model mereka, Proton Iriz dinobatkan sebagai ‘Budget Car Of The Year’ ataupun kereta bajet terbaik bagi tahun 2016 pada Asean Car Of The Year (ACOTY) 2016. Anugerah ini telah dihadiahkan oleh para pakar industri permotoran Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Ketua Pengarah Urusan Proton Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali menyatakan bahawa selepas memenangi anugerah pada peringkat kebangsaan, syarikat amat berbesar hati apabila mendapat pengiktirafan sekali lagi di ATOCY, terutamanya kepada model mereka, Proton Iriz yang telah dilancarkan dua tahun dahulu.

“Kami telah mengerahkan segala kepakaran ke dalam model Iriz demi memberikan nilai terbaik kepada pelanggan kami, dan pengiktirafan dalam anugerah di peringkat ASEAN ini menunjukkan usaha kami berbaloi,” katanya selepas ditemubual pada hari anugerah tersebut.

Proton Iriz diperkenalkan kepada umum pada September 2014 dan menjadi kereta pertama milik Proton untuk segmen kereta kompak.

Ia menerima pengiktirafan lima bintang di bawah ASEAN New Car Assessment Programme ataupun Program Penilaian Kereta Baru dari segi keselamatan, dikuasakan dengan enjin empat silinder injap boleh ubah dan datang dengan pilihan 1.3 liter ataupun 1.6 liter. Harganya boleh didapati daripada RM41,520 hingga RM62,030.

Sementara itu, Proton juga sedang mengadakan rebat pembelian sebanyak RM2,200 hingga RM4,000 termasuk dengan dua tahun servis percuma ataupun jarak perjalanan sejauh 40,000km, yang mana sampai dahulu ke atas setiap pembelian model baru mereka pada bulan Disember.

Sumber: The Star