Pengeluar model kereta elektrik terkenal dunia, Tesla telah melancarkan kereta terbaru milik mereka, Tesla Model S Electric GT, siri kereta lumba pertama di dunia yang menggunakan kuasa elektrik. Model ini telah diperkenalkan pada Autosport International Show baru-baru ini.

Tesla baru sahaja melancarkan mode ‘Ludicrous Plus’ kepada pemilik Model S dan Model X P100D yang mampu meningkatkan prestasi enjin kereta kepada tambahan 33hp yang menjanjikan pecutan dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh 2.4 saat sahaja. Namun, model terbaru ini menghasilkan daya pecutan yang lebih tinggi dengan kelajuan dari 0 ke 100 km/j hanya dalam tempoh 2 saat.

Tesla Model S Electric GT

Tesla membuat ubahsuai kepada Model S P100D dengan membawa masuk motor elektrik berkuasa 585kW supaya sepadan dengan enjin berkapasiti 778hp. Pada awalnya Tesla hanya ingin membawa masuk motor versi 85kW dengan perubahan yang sedikit. Namun, untuk model kali ini Tesla telah membawa masuk pek bateri yang terbesar mereka pernah cipta ditambah pula dengan rupa bentuk sebuah kereta lumba yang menarik.

Selain tambahan kepada kuasa enjin, Tesla telah mengurangkan berat kereta sebanyak 500kg berbanding kereta standard milik mereka. Antara item yang dibawa keluar daripada model sedan asal ialah seperti tempat duduk, material kalis bunyi, dashboard dan juga konsol di tengah-tengah dashboard. Tesla hanya meninggalkan touch screennya yang besar dan instrumen digital asal ke dalam model terbaru ini. Kabin kereta pula kini dipasang dengan bucket seat daripada carbon-fibre untuk pemandu, stering yang berupa segi empat tepat dan juga besi penghadang di seluruh kabin kereta.

Tesla Model S Electric GT 1

Rupa bentuk yang lebih aerodinamik dengan tambahan pemisah udara di bahagian hadapan dan spoiler yang lebih lebar betul-betul tampak seperti sebuah kereta lumba. Roda yang lebih lebar dipasang untuk cengkaman ke atas jalan dengan lebih luas.

Model kereta Tesla mula menghujani jalan raya Malaysia sejak daripada tahun lepas. Adakah Tesla Model S Electric GT ini bakal berada untuk pasaran Malaysia? Mari kita nantikan sama-sama.

Sumber: Auto Express