Saban kali kita dengar berita tentang ketidakpuashatian pemandu teksi dengan servis Uber yang dikatakan sebagai mencuri periuk nasi mereka. Namun kini, syarikat teksi dikatakan bakal bekerjasama dengan syarikat aplikasi pengangkutan itu bagi menambah baik servis mereka.

Menurut laporan The Sun Daily, syarikat teksi tempatan dikatakan mengambil langkah ini demi menyelamatkan industri yang telah lama mereka pelopori.

Walaupun telah berlaku berita yang kurang enak sejak dari tahun 2015 akan pertelingkahan pemandu teksi dan pemandu Uber, syarikat teksi menyatakan bahawa daripada meneruskan ‘perang’ dengan Uber, adalah lebih baik untuk mereka bekerjasama.

Oktober lepas dilaporkan lebih 10,000 pemandu teksi telah memulangkan kenderaan sewa tersebut kepada syarikat akibat persaingan hebat dengan pemandu Uber dan Grab. Dijangkakan juga model bisnes teksi bakal terkubur pada tahun 2018 sekiranya mereka tidak melakukan sebarang perubahan pada model bisnes mereka.

Dikhabarkan memorandum perjanjian (MOU) antara syarikat teksi dan Uber Malaysia Sdn Bhd bakal berlangsung pada minggu ini.

Apabila ditanya oleh pihak The Sun Daily kepada pengusaha syarikat teksi mengapa mereka ingin bekerjasama dengan startup yang diasaskan di San Francisco itu, mereka berkata bahawa orang awam lebih sedar tentang jenama Uber berbanding teksi.

Pihak syarikat teksi tempatan juga mempunyai applikasi tempahan teksi secara online namun, mereka tidak mendapat cukup tarikan daripada pengguna akibat kurangnya pemasaran tentang applikasi tersebut.

Untuk permulaan, sebanyak 500 buah teksi dari enam buah syarikat pengendali teksi tempatan di Semenanjung bakal memulakan projek kolaborasi pertama bersama Uber bemula bulan hadapan.

Dinyatakan bahawa syarikat teksi dan Uber sedang berada pada fasa akhir perbincangan model bisnes kerana Uber menggunakan sistem pembayaran kredit dan debit sebagai transaksi bersama pengguna.

Teksi tetap meneruskan penggunaan meter sebagai medium pengiraan tambang kepada pengguna. Namun, sekiranya pemandu teksi ingin mengambil tempahan daripada Uber, mereka perlu menerima kadar harga yang telah ditetapkan oleh Uber, sama ada ianya lebih tinggi atau lebih rendah daripada kadar yang ditetapkan SPAD.

Ini merupakan berita baik bagi pengguna di mana mereka boleh mendapatkan khidmat teksi atau pun Uber pada kadar yang lebih pantas kerana jumlah pemandu semakin bertambah. Kami lihat juga Grab bakal menghadapi masalah pada peringkat awal kerjasama Uber dan syarikat teksi ini kerana saingan di antara penggunaan aplikasi antara Uber dan Grab bakal berlaku.

Baca: Pengeluar Kereta China, Geely Bakal Menjadi Rakan Teknikal Proton

Sumber: The Sun Daily

Ikuti Venneauto di Facebook dan Instagram